Hari Kemerdekaan ke-57 disambut sederhana tetapi meriah

Hari Kemerdekaan ke-57 disambut sederhana tetapi meriah
Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57. Foto Twitter @501Awani

Hari Kemerdekaan ke-57 hari ini disambut meriah di Dataran Merdeka oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan penuh semangat patriotik selaras temanya `Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.

Sambutan bermula jam 8.15 pagi di dataran bersejarah itu merekodkan kehadiran sekitar 100,000 pengunjung yang menyaksikan perbarisan pelbagai kontinjen anggota keselamatan, kakitangan awam dan swasta.

Rakyat hadir dengan pelbagai pakaian termasuk yang bermotifkan Jalur Gemilang selain baju dengan unsur patriotik.

Acara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diiringi 14 das tembakan meriam oleh Rejimen Alteleri Diraja.


Ia disusuli laungan ikrar oleh 57 anak muda pelbagai kaum dan agensi diketuai Pelajar Sekolah Menengah Alam Shah, Putrajaya, Ahmad Amsah Ahmad Afendi sebelum laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.

Selesai bacaan ikrar, hadirin dan tetamu kenamaan senyap seketika pada sesi doa dan bertafakur bagi mengenang perwira negara yang berjuang mempertahankan tanah air. Seramai 14,220 peserta daripada 23 kontinjen menyertai persembahan yang membabitkan empat komponen iaitu ketibaan rasmi pembesar negara, jejak gemilang merdeka, warisan pemimpin dan keberangkatan pulang.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis sambutan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, barisan Menteri Kabinet, ahli politik serta wakil kedutaan turut hadir.

Sambutan pagi ini juga dimeriahkan lagi dengan persembahan multimedia diketuai dua ikon animasi negara, Upin dan Ipin yang dipancarkan menerusi skrin gergasi.

Selesai persembahan nyanyian, acara perbarisan sambutan dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen membawa Jalur Gemilang oleh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) diikuti pasukan pancaragam.

Perbarisan dimulakan dengan persembahan seni mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh pasukan VAT69.

Sepanjang majlis perarakan itu, sebuah zeppelin dengan imej Bapa Kemerdekaan Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, serta empat dron berlegar di ruang udara Dataran Merdeka.

Zeppelin itu dipasang dengan kamera berteknologi tinggi yang memancarkan visual pandangan dari udara terus ke skrin gergasi yang dipasang di Dataran Merdeka untuk tatapan pengunjung dan disalurkan terus ke stesen televisyen untuk siaran langsung acara itu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat meninggalkan majlis pada jam 10.15 pagi. – Berita Harian