KDN sahkan ada anggota PPS terlibat jenayah

KDN sahkan ada anggota PPS terlibat jenayah
Foto myMetro

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan ada anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan semalam dikesan pernah melakukan jenayah kekerasan dan peras ugut orang awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan daripada orang awam mengatakan sebahagian anggota pertubuhan itu pernah melakukan jenayah termasuk memeras ugut orang ramai.

“Kita ada terima laporan sebilangan anggota PPS bukan jaga keselamatan, tetapi mereka bertindak pukul orang. Ada yang bertindak di luar daripada perundangan seolah-olah melangkaui bidang kuasa polis.

“Malah, sebaik menerima surat rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengatakan pertubuhan itu tidak berdaftar, IGP (Ketua Polis Negara) terus mengarahkan supaya tindakan diambil, ” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Segambut di Komplek KDN, di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyatakan bidang kuasa mengawal keselamatan dan ketenteraman awam terletak di bawah kerajaan negeri itu.

“Dia (Guan Eng) perlu faham perlembagaan, apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dan Malaysia ditubuhkan bersama Sabah dan Sarawak sudah termaktub dalam undang-undang bahawa soal keselamatan, pertahanan bukan bidang kuasa kerajaan negeri tapi kerajaan persekutuan,” katanya. – Harian Metro