Pasar tani di Terengganu guna konsep pasar raya

Pasar tani di Terengganu guna konsep pasar raya

Kesemua 24 Pasar Tani (PT) di Terengganu akan menggunakan konsep perniagaan seperti pasar raya dalam usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meningkatkan imejnya.

Pengarah Fama Negeri, Hassan Jusoh berkata, seiring dengan pelancaran Program Pengredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) yang dikuat kuasa sekarang, pihaknya mahu PT di Terengganu menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada penduduk malah pelancong.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, peserta PT telah dididik supaya menjadikan gerai jualan mereka cantik dan menarik dengan setiap sayuran mahupun buah-buahan disusun dengan kemas dan teratur seperti dalam pasar raya dengan peraturan GPL dilakukan bagi memudahkan pembeli.

“Kita tidak mahu lagi Pasar Tani dianggap sebagai tempat yang kotor dan menjadi tumpuan bagi barangan kurang berkualiti, bersisa racun atau tidak bersih,” katanya kepada Bernama.

Hassan berkata, para pengunjung ke PT dalam masa terdekat akan dapat melihat setiap sayuran atau buah-buahan yang dijual dibungkus dengan baik, malah digred mengikut kualiti dan dilabel dari mana ia dikeluarkan.

Beliau berkata, untuk itu pemantuan akan sentiasa dilakukan oleh bahagian penguatkuasaan dalam memastikan setiap peserta PT mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Terdapat 1,185 usahawan yang berniaga di 24 PT di Terengganu, katanya. – BERNAMA