Sampel tulang haiwan kolam ikan patin di Perak sah babi

Sampel tulang haiwan kolam ikan patin di Perak sah babi

Ujian DNA ke atas sampel tulang haiwan yang ditemui dari sebuah kolam ternakan ikan patin di Jalan Ipoh Batu Gajah bulan lalu disahkan memang tulang babi.

Laporan pengesahan itu diterima daripada pihak Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Selangor pada 8 Ogos lalu.

Sampel tulang berkenaan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis pada 10 Julai, selepas pendedahan isu ikan patin diberi bangkai babi tersebar di media sosial Facebook dan akhbar sejak 7 Julai

– Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya tidak dapat mengesan pemilik kolam berkeluasan 0.4 hektar itu kerana dipercayai sudah melarikan diri. Ladang itu juga didapati telah kering dan sudah ditinggalkan.

Berikutan kes itu, Jabatan Perikanan bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri termasuk negeri lain supaya semua ladang ternakan akuakultur didaftarkan dengan jabatan itu untuk tujuan pemantauan termasuk jenis makanan dan kemungkinan penggunaan bahan kimia lain yang menyentuh isu halal dan keselamatan.